Beberapa hari lepas saya ada
berbual dengan seorang rakan. Kami tidak bersemuka. Hanya chatting alam
maya menjadi perantara. Perbualan kami berkisar tentang puasa.
Topiknya bukan berkaitan soal
perbelanjaan atau menu masakan berbuka, tetapi tentang bagaimana menambah kualiti puasa. Daripada puasa orang
biasa-biasa kepada tingkat puasa orang-orang soleh. Setidak-tidaknya begitu.
“Apa makna puasa?” tanya sahabat
saya.
“Puasa itu ertinya menahan.”
“Apa yang kita tahan?” Saya
kira dia hanya ingin memeriahkan perbualan alam maya kami. Dia bukan
calang-calang orang dalam beragama.
“Nafsu. Raja yang menjadi
kejahatan dalam diri.” Jawab saya pendek.
“Nafsu tidak boleh
dimusnahkan. Dia tidak boleh dihalau macam syaitan. Tapi nafsu
boleh dikawal. Hendak
mengawal nafsu, mesti boleh menahan nafsu itu dahulu.”
“Jadi bila kita mampu menahan
nafsu, barulah kita boleh mengawalnya?”
“Ya, tepat!”
Saya beri contoh mudah. Kenderaan
dikawal dengan brek. Dengan brek kenderaan boleh diperlahankan kelajuannya atau
berhenti. Bila brek rosak, kenderaan tidak dapat dikawal dan akan terbabas.
Lalu kita tanyakan pada diri
kita. Apakah puasa selama ini sudah berfungsi sebagai brek pada nafsu kita? Betulkan
puasa kita selama ini menahan? Atau puasa kita mengempang?
“Apa yang awak maksudkan
dengan puasa mengempang?”
“Maksud saya siang kita
mengempang nafsu makan, bila berbuka kita lepaskan sepuas-puasnya. Kalau itu
yang terjadi puasa kita tidak melemahkan kejahatan nafsu, malah melatih dia
untuk jadi lebih kuat lagi.”
“Cuba tengok empangan. Air
sungai yang mengalir biasa, kurang kuasanya. Tetapi kalau air di empangan,
kekuatannya boleh dibuat janakuasa” Saya menjelaskan panjang lebar.
“Saya setuju. Biasanya bila
bulan puasa, makanan untuk berbuka jauh lebih mengiurkan. Setiap hari mesti ada
banyak lebihan makanan yang dibuang. Bazar ramadhan ada dimerata-rata dan meriah
dengan makanan beraneka. Sudah macam pesta makanan.
Kalau balik daripada bazar
ramadhan, penuh bungkusan dikiri dan kanan. Sampai tak cukup jari nak
menyangkut bungkusan.”
“Belanja dapur juga bertambah
daripada biasa. Itu belum dikira kalau menghadiri pakej berbuka buffey
ramadhan. Satu kepala dengan harga yang sama. Makanlah apa saja, sepuas-puasnya!”
“Sepuas-puasnya tu banyak
mana?”
“Makanlah sampai mati” saya
bergurau kasar.
Saya sebenarnya ingin
mengajak kita memulakan langkah meningkatkan puasa tahun ini dengan biasa-biasa
sahaja ketika berbuka. Percayalah, bila lapar, kita jadi lebih berselera.
Nak makan
itu, nak rasa ini. Sebaiknya cuba mempraktikkan sunnah berbuka. Makan kurma dan
minum segelas air dan terus solat magrib. Kemudian makanlah apa yang tersedia
dan yang sedia ada.
“Mana boleh. Susah nak buat
macam itu. Semua dah terhidang depan mata”
“Terpulanglah. Siapa amalkan,
dia dapat keuntungannya”
Sebenarnya, kalau difikirkan,
kita cuma tidak makan tengahari. Pagi kita bersahur, malam kita berbuka. Kita tidak
makan tengahari sahaja. Tetapi bila membeli makanan, seakan-akan tiga hari tidak
pernah jumpa makanan.
Kecewanya bila makan sedikit
sahaja perut sudah penuh. Had limit perut sudah diisi maksima. Akhirnya makanan
dituang ke tanah begitu sahaja. Dapat pula dosa membazir.
Puasa nak dapatkan
pahala, balik-balik dosa pula yang diterima. Rugi-rugi.
Ramadhan bukan bulan makan. Ramadhan
bulan puasa. Puasa melatih diri untuk menahan nafsu. Berjaya menahan nafsu
membolehkan kita mampu mengawal nafsu. Bila nafsu terkawal, mudahlah mencapai
matlamat puasa iaitu takwa.
Mari kita jernihkan niat,
bulatkan tekad. Ramadhan tahun ni meskipun tidak terbaik tetapi bertambah baik
daripada sebelum ini. Kita harapkan ramadhan tahun ini sebagai satu lagi dakian
anak tangga menuju ramadhan yang terbaik.
InsyaAllah..
0 comments:
Post a Comment