Fitrah
manusia itu sangat suka kepada kecantikan. Cantik rupa, cantik pakaian dan cantik
tubuh badan.
Jika dipinta
seseorang untuk memilih, antara sehelai baju yang cantik dengan sehelai baju
lusuh, tentu sahaja baju yang cantik itu menjadi pilihan. Begitu juga seorang
lelaki, kalau disuruh memilih antara dua orang wanita untuk dijadikan bakal
isteri, pasti pilihannya yang paling cantik. Itu fitrah.
Allah
s.w.t itu Maha Cantik
Allah s.w.t memiliki
sifat Yang Maha Cantik dan Dia sangat suka pada kecantikan.
Sabda nabi
Muhammad,
“Sesungguhnya
Allah itu cantik dan suka akan kecantikan”
Lihatlah
betapa cantiknya Allah menghiasi alam yang terbentang luas ini. Pokok-pokok
yang merimbun hijau. Bunga-bungaan yang terserlah keindahan warna-warninya. Tumbuh-tumbuhan
yang melata dengan pelbagai cara.
Pandanglah langit
biru yang kukuh tanpa tiang. Dihiasi pula dengan tompokan awan yang melukis
permandangan. Lautan luas terbentang yang tidak bertepian.
Kalau kita
perhatikan pula pada diri kita, alangkah uniknya manusia itu diciptakan. Kita
diciptakan oleh Allah dengan sebaik-baik kejadian. Setiap anggota dan
pancaindera saling melengkapkan.
Allah
berfirman di dalam surah At-Tin.
“Sesungguhnya
kami telah mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian (dan berkelengkapan
sesuai dengan keadaannya)”
Rasulullah
sendiri seorang yang sentiasa tampil dengan perwatakan yang kemas,rapi dan
kacak. Makanya kacak tidak menjadi masalah, cantik tidak menjadi salah. Yang
salahnya,bagaimana mengurus cantik itu. Itu yang perlu dititik beratkan,bukan
dilepas tangan.
Semua
orang ingin cantik
Produk-produk
kecantikan hari ini sangat laris di pasaran. Apa sahaja produk yang menjanjikan
kecantikan akan mendapat tempat. Pelbagai nama dengan ramuan yang tersendiri. Tidak
cukup dengan itu, pembedahan plastik pula diperkenalkan. Semuanya mendapat
sambutan.
Semua wanita
ingin cantik rupawan. Semua lelaki ingin tampil menawan. Siapa tidak suka kalau
dipuji cantik? Siapa tidak bangga dikata kacak?
Papan-papan
iklan jalan raya dipenuhi dengan iklan bermodelkan wanita cantik. Buka sahaja
kaca telivisyen, pelakon-pelakon tampan jelita membintangi drama dan filem.
Tidak
sedikit yang mencipta nama hanya kerana memiliki wajah yang indah menawan.
Betapa ramai
yang sedia berkorban demi bergelar cantik. Duit sudah terlalu banyak
dikeluarkan. Biar tak berharta asalkan punya wajah yang jelita. Demi diri kelihatan menawan,segalanya
boleh dikorbankan.
Biarlah
tidak cantik,biarlah tidak kacak.
Saya
teringat akan seorang teman. Suatu petang semasa bermain bola , saya keluar melepas
lelah di tepi padang. Mata saya tertangkap pada seorang teman saya yang sejak
tadi termenung sendirian .Jangkaan saya tentu ada perkara besar yang di
fikirkan. Saya menghampiri lalu duduk di sebelahnya.
“Tengok sahaja?Tak
nak main sekali?” sapa saya memotong menungannya.Dia senyum .Tubuhnya agak
gempal. Kulitnya hitam manis, semanis wajahnya juga.
“Malaslah..”
Dia membalas pendek. Pandangannya dibuang jauh ke tengah padang.
“Fikir apa Aril?
Ceritalah... Mana tahu kalau aku boleh tolong. Nak kahwin kah?” saya
mencucuk.Dia lantas menoleh memandang saya. Wajahnya tampak berminat untuk
berkongsi.
“Aku tengah
susah hati sebenarnya. Hmmm. Ada kah orang yang hendak berkahwin dengan aku? Aku
ini rupa tak ada, berjerawat pula. Badan macam belon. Kulit serupa manggis. Nak
kata pandai,periksa selalu atas pagar sahaja. Entahlah Salim..” sayu sungguh
keluhannya. Terpancar sebuah kerisauan.
Saya
tersenyum menahan ketawa.
“Siapa cakap kau tak ada rupa? Kau kacaklah. Manis
lagi! Kau sahaja yang tak perasan.” Wajah murungnya mula mengukir sekuntum
senyuman.
Perbualan
semakin rancak. Saya membatalkan hasrat untuk kembali bermain bola. Ada perkara
lebih penting untuk diperbincangkan.
“Cantik, handsome,
kacak, comel, semua itu ada pada setiap ciptaan Allah. Mungkin kita rasa yang
kita ini tidak sekacak mana, tetapi tidak mustahil ada orang yang nampak kita
sangat kacak. Ada perempuan yang ramai orang kata dia cantik, tetapi kita
tengok dia biasa-biasa sahaja.”
“Allah Yang Maha
Bijaksana mencipta citarasa manusia itu berbeza-beza. Kalau semua lelaki handsome
itu berkahwin dengan perempuan cantik, siapa hendak berkahwin dengan perempuan
yang kurang cantik? Kesian pula lelaki yang tak berapa kacak, tak ada perempuan
cantik yang hendak…” saya berceloteh panjang. Dia mengangguk-ngangguk.
“Aku pun
perasan sekarang ini banyak juga pasangan pengantin yang ‘ibarat pinang dibelah
dengan kapak’. Isteri sangatlah lawa, suami dia jangan cakaplah, aku rasa aku handsome
lagi. Hehe”. Kami berdua ketawa.
“Apa yang hendak
dirisaukan?Allah kan Maha Adil.Allah tidak akan menganiayai hamba-hambaNya.Percayalah”
Dua tahun
selepas perbualan itu, dia menghubungi saya. Saya dijemput ke rumahnya. Kenduri
kahwin katanya. Saya terdiam. Aik.. Dia pula yang dahulu daripada saya.
MasyaAllah….
Saudara,
Usah risau
kalau kita tidak cantik.Jangan rasa hina andai kita tidak tampan. Kadangkala
kecantikan orang lain itu membuat kita rasa rendah diri. Adakalanya ketampanan
orang lain menyebabkan kita rasa tiada
harga diri. Kita persoalkan kenapa kita tidak secantik dirinya? Mengapa kita
tidak dilahirkan tampan sepertinya? Kita tidak boleh ubah rupa yang sedia ada. Kita
seakan terlupa segala nikmat lain yang telah kita terima.
Bersyukurlah!
Bersyukurlah
wahai pelupa. Allah pemilik alam semesta yang menciptakan kita. Mana mungkin
sang Pencipta tidak tahu apa yang terbaik buat hamba-hamba ciptaanNya.
Jangan
dipinta yang tidak ada. Sebaliknya memanfaatkan yang sedia ada. Bukan cantik
luaran yang kita kejarkan, tapi indah dalaman yang kita impikan.
Manusia hari
ini terlalu sibuk menghiasi luaran sehingga terlupa sisi dalaman. Luaran itu tidak
lama. Kulit yang tegang sampai masa berkedut juga. Kecantikan akan hilang
dimamah tua. Rambut tidak selamanya hitam. Bila sampai masanya, kepala kita
diganti dengan uban.
Diri kita
bukan kita yang punya. Yang luaran itu akan pudar seiring usia. Yang dalaman
itu yang harus dibina. Dalaman itu yang akan kita bawa bertemu Allah
azzawajalla.
Tentu saja
dalaman itu adalah HATI. Kenapa bukan hati itu yang kita persiapkan? Mengapa
bukan hati itu yang kita hiaskan?
Cantik itu
tidak selamanya membawa kebahagiaan. Bahkan dengan kecantikan itu boleh mengundang
kemurkaan tuhan. Hanya untuk dikata cantik dia langgar perintah Allah.Auratnya
didedahkan. Kerana ingin dipuji cantik akhirat dia gadaikan. Malah dengan
kecantikan itu semakin melorot kehinaan.
Maaf kalau
saya katakan,kecantikan itu telah merosakkan ramai anak muda-mudi zaman ini. Kecantikan
yang sementara itu akhirnya memakan diri. Apalah guna cantik itu andai neraka yang akan
menjadi pengakhiran?
Lihatlah bintang-bintang
filem dunia. Sebahagian besar daripada mereka memiliki aset rupa yang sangat
istimewa. Namun bahagiakan mereka? Keluarga mereka porak-poranda. Rumahtangga
huru-hara. Hidup mereka berakhir dengan derita.
Biarlah
tidak cantik asalkan hati beriman. Biarlah tidak tampan janji taqwanya mapan. Jangan
mudah rendah diri dengan rupa zahir. Jangan rasa kecil hati dengan itu semua.
Bukan semua
manusia lahir dianugerahkan kecantikan rupa. Tapi setiap insan itu dihadiahkan
sekeping hati yang perlu ditempa. Hati itu yang akan menjadikan kita mulia.
Hati
itulah yang bertakhta padanya bahagia.
Maha suci
Allah yang maha bijaksana dalam mencipta kita. Dia sentiasa berlaku adil pada
kita hamba-hambaNya. Allah tidak menilai kita dengan paras rupa. Syurga itu bukan
untuk mereka yang cantik tampan semata-mata. Syurga itu untuk semua pemilik
hati yang bertaqwa.
Sabda nabi
junjungan mulia:
“Sesungguhnya Allah tidak melihat pada
bentuk tubuh-tubuh kalian dan tidak
pula kepada bentuk-bentuk
rupa kalian, tetapi Dia melihat hati-hati kalian”
Cukuplah
merisaukan tentang luaran diri. Bersyukurlah dengan segala yang dimiliki. Mari
kita cantikkan hati. Moga dengannya kebahagiaan itu bertandang kemari.
1 comments:
Dush!
Artikel yang mantap dan mapan sekali :)
Betullah kata Saidina Ali 'beautiful people aren't always good; but, good people are always beautiful'
Teruskan berkarya! moga Allah mudahkan :D
Post a Comment