Searching...

.::: salam :::.

Sunday, July 7, 2013

Ramadhan pesta makan




Beberapa hari lepas saya ada berbual dengan seorang rakan. Kami tidak bersemuka. Hanya chatting alam maya menjadi perantara. Perbualan kami berkisar tentang puasa.

Topiknya bukan berkaitan soal perbelanjaan atau menu masakan berbuka, tetapi tentang bagaimana  menambah kualiti puasa. Daripada puasa orang biasa-biasa kepada tingkat puasa orang-orang soleh. Setidak-tidaknya begitu.

“Apa makna puasa?” tanya sahabat saya.
“Puasa itu ertinya menahan.”

“Apa yang kita tahan?” Saya kira dia hanya ingin memeriahkan perbualan alam maya kami. Dia bukan calang-calang orang dalam beragama.

“Nafsu. Raja yang menjadi kejahatan dalam diri.” Jawab saya pendek.
“Nafsu tidak boleh dimusnahkan. Dia tidak boleh dihalau macam syaitan. Tapi nafsu 
boleh dikawal. Hendak mengawal nafsu, mesti boleh menahan nafsu itu dahulu.”

“Jadi bila kita mampu menahan nafsu,  barulah kita boleh mengawalnya?”
“Ya, tepat!”

Saya beri contoh mudah. Kenderaan dikawal dengan brek. Dengan brek kenderaan boleh diperlahankan kelajuannya atau berhenti. Bila brek rosak, kenderaan tidak dapat dikawal dan akan terbabas.

Lalu kita tanyakan pada diri kita. Apakah puasa selama ini sudah berfungsi sebagai brek pada nafsu kita? Betulkan puasa kita selama ini menahan? Atau puasa kita mengempang?

“Apa yang awak maksudkan dengan puasa mengempang?”
“Maksud saya siang kita mengempang nafsu makan, bila berbuka kita lepaskan sepuas-puasnya. Kalau itu yang terjadi puasa kita tidak melemahkan kejahatan nafsu, malah melatih dia untuk jadi lebih kuat lagi.”

“Cuba tengok empangan. Air sungai yang mengalir biasa, kurang kuasanya. Tetapi kalau air di empangan, kekuatannya boleh dibuat janakuasa” Saya menjelaskan panjang lebar.

“Saya setuju. Biasanya bila bulan puasa, makanan untuk berbuka jauh lebih mengiurkan. Setiap hari mesti ada banyak lebihan makanan yang dibuang. Bazar ramadhan ada dimerata-rata dan meriah dengan makanan beraneka. Sudah macam pesta makanan. 
Kalau balik daripada bazar ramadhan, penuh bungkusan dikiri dan kanan. Sampai tak cukup jari nak menyangkut bungkusan.”

“Belanja dapur juga bertambah daripada biasa. Itu belum dikira kalau menghadiri pakej berbuka buffey ramadhan. Satu kepala dengan harga yang sama. Makanlah apa saja, sepuas-puasnya!”

“Sepuas-puasnya tu banyak mana?”
“Makanlah sampai mati” saya bergurau kasar.

Saya sebenarnya ingin mengajak kita memulakan langkah meningkatkan puasa tahun ini dengan biasa-biasa sahaja ketika berbuka. Percayalah, bila lapar, kita jadi lebih berselera. 

Nak makan itu, nak rasa ini. Sebaiknya cuba mempraktikkan sunnah berbuka. Makan kurma dan minum segelas air dan terus solat magrib. Kemudian makanlah apa yang tersedia dan yang sedia ada.

“Mana boleh. Susah nak buat macam itu. Semua dah terhidang depan mata”
“Terpulanglah. Siapa amalkan, dia dapat keuntungannya”

Sebenarnya, kalau difikirkan, kita cuma tidak makan tengahari. Pagi kita bersahur, malam kita berbuka. Kita tidak makan tengahari sahaja. Tetapi bila membeli makanan, seakan-akan tiga hari tidak pernah jumpa makanan.

Kecewanya bila makan sedikit sahaja perut sudah penuh. Had limit perut sudah diisi maksima. Akhirnya makanan dituang ke tanah begitu sahaja. Dapat pula dosa membazir. 
Puasa nak dapatkan pahala, balik-balik dosa pula yang diterima. Rugi-rugi.

Ramadhan bukan bulan makan. Ramadhan bulan puasa. Puasa melatih diri untuk menahan nafsu. Berjaya menahan nafsu membolehkan kita mampu mengawal nafsu. Bila nafsu terkawal, mudahlah mencapai matlamat puasa iaitu takwa.

Mari kita jernihkan niat, bulatkan tekad. Ramadhan tahun ni meskipun tidak terbaik tetapi bertambah baik daripada sebelum ini. Kita harapkan ramadhan tahun ini sebagai satu lagi dakian anak tangga menuju ramadhan yang terbaik.

InsyaAllah..


0 comments: